Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran (kanan) bercakap kepada media selepas hadir Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) turut sama Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (kiri) di Pejabat BN, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 MAC 2019

KUALA LUMPUR – MCA dan MIC dan MCA tidak ada masalah dengan kerjasama UMNO-Pas pada mana-mana Pilihan Raya Kecil atau Pilihan Raya Umum Ke-15.

Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran berkata, parti itu berpendapat kerjasama kedua-dua parti itu hanya untuk merapatkan perpaduan antara Melayu dan Islam.

Malah langkah itu tidak bercanggah dengan gabungan BN.

“Jelas sekali mereka (Pas) tidak bergabung dengan BN dan mereka tidak berminat untuk sertai BN.

“Saya rasa tidak ada persoalan yang timbul kerana kerjasama UMNO-Pas dalam pembangkang, saya fikir semua pihak sudah setuju untuk kebaikan sejagat.

“MIC tidak ada masalah dengan itu, saya pernah bersemuka dengan Datuk Seri Hadi Awang dan saya katakan bahawa MIC sedia untuk kerjasama dengan Pas,” katanya.

MGF08032019_MEETING BN_20
Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) berjabat tangan bersama Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (kiri) dan Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran (kanan) selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pejabat BN, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 MAC 2019

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mesyuarat dua jam itu dipengerusikan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas sebagai Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hadir sama adalah dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri, dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

MCA turut menghantar Timbalan Presidennya, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Setiausaha Agungnya, Datin Seri Chew Mei Fun.

Sementara pemimpin lain MIC adalah Timbalan Presidennya, Datuk M. Saravanan.

Dalam pada itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong juga berkata, kerjasama itu juga tidak membawa masalah kepada MCA.

Bagaimanapun, MCA berkata, parti itu akan terus mempertahankan semangat yang masih tinggal dalam BN dan bersedia untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak ada masalah untuk kerjasama dengan mana-mana parti termasuk Pas memandangkan ia boleh membawa kepada kepentingan rakyat.

“Apa sahaja kerjasama antara UMNO dan Pas itu adalah mengenai UMNO sebagai parti Melayu bersama Pas.

“Selagi tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kita setuju. Dalam jangka masa ini kita nampak, ia adalah kerjasama mengenai bangsa dan agama. Kami tidak ada masalah,” katanya.

Isnin lalu, kedua-dua parti ini membuat kenyataan mereka mungkin tidak akan bersama BN lagi ekoran kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz baru-baru ini yang didakwa berbaur rasis.

Ka Siong dan Vigneswaran dalam kenyataan bersama menegaskan, kenyataan Ahli Parlimen Rengas itu menyebabkan hubungan mereka dengan UMNO semakin ‘rosak’. -MalaysiaGazette

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/04/isu-rasis-nazri-mca-mic-mungkin-keluar-bn/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast