Datuk Zaiton Othman

PUTRAJAYA – Bekas Olahragawati Kebangsaan, Datuk Zaiton Othman menamatkan khidmat sebagai Pesuruhjaya Sukan hari ini, selepas memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2015.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan perkara itu, sambil menyatakan Zaiton banyak berjasa dalam arena sukan negara ketika bergelar atlet dan penjawat awam, terutamanya membantu melancarkan pentadbiran sukan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Zaiton di atas perkhidmatan beliau, sebab hari ini adalah tarikh terakhir beliau berkhidmat dan akan bersara.

“Beliau melakukan kerja-kerja luar biasa untuk kementerian.

“Selepas ini kementerian perlu mencari pengganti mungkin bekas atlet juga untuk mengendalikan jawatan Pesuruhjaya Sukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman venue Piala Dunia FIT Touch kesembilan di Taman Ekuestrian Putrajaya di sini, hari ini.

Zaiton yang akan berusia 60 tahun pada 3 Mei depan dan berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang adalah jagoan dalam acara heptathlon serta 400 meter pada era kegemilangannya.

Selain itu, bekas atlet negara itu yang pernah diberi jolokan ‘wanita besi’ adalah pemegang rekod kebangsaan acara heptathlon ketika beraksi pada Sukan SEA Manila 1981.

Beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 1982 dan memenangi tiga pingat emas serta mencipta rekod terbaik Asia dalam acara lari berganti-ganti 4x400m.

Zaiton memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani dari Universiti Pertanian Malaysia dan Ijazah Sarjana Psikologi Sukan Gunaan dari San Diego State University, California.

Beliau memulakan perkhidmatan di Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai pegawai sukan pada September 1989 dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Psikologi Sukan di Institut Sukan Negara (ISN) dari 1992 hingga 2000 sebelum kembali ke MSN. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast