KUALA LUMPUR – Dua buah sekolah yang terlibat dalam kes pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang Johor akan dibuka semula Isnin ini.

“Satu mesyuarat khas Jawatankuasa Bantuan Bencana Tumpahan Sisa Kimia di Sungai Kim Kim Pasir Gudang telah diadakan hari ini oleh pihak berkuasa melibatkan semua agensi kerajaan berkaitan.

“Berdasarkan maklumbalas pelbagai jabatan dan agensi adalah disyorkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih,Pasir Gudang akan ditutup esok (Ahad-10 Mac 2019).

“Ia bagi membolehkan kerja kerja pembersihan sepenuhnya dibuat oleh pihak sekolah dan sekolah dibuka semula bagi tujuan pembelajaran pada Isnin 11 Mac ini,” kata Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan dalam kenyataan.

Sehubungan itu katanya, JPN Johor bersetuju dengan syor berkenaan dan telah membuat makluman kepada pejabat Pendidikan Daerah pasir Gudang serta dua sekolah terlibat.

“Langkah itu membolehkan kedua dua sekolah itu mengambil tindakan susulan pemakluman kepada guru-guru dan ibu bapa penjaga murid sekolah berkenaan berkaitan penutupan ini,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, seramai 1,400 murid dan pelajar SK dan SMK Pasir Putih diarah mengosongkan kawasan sekolah sekitar pukul 10.30 pagi setelah pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Sehingga kini seramai 79 mangsa pelajar dirawat di hospital akibat pencemaran gas dengan empat termasuk dua pelajar SMK Pasir Putih, seorang pengusaha kantin dan pemandu ambulans dirawat dalam ICU.

Kejadian disyaki disebabkan oleh pembuangan bahan kimia ke dalam sungai Kim Kim oleh pihak tidak bertanggungjawab sekitar 2 pagi pada Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, polis telah menerima lima laporan polis membabitkan kes berkenaan dan kertas siasatan dibuka bagi mencari dalang kejadian itu dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar. – MalaysiaGazette