Foto hiasan...Kerjaya kepolisan sentiasa mendapat sambutan mengalakkan serta menjadi pilihan anak muda di negara ini termasuk pemegang ijazah dan diploma.

JEMPOL – Kerjaya kepolisan sentiasa mendapat sambutan mengalakkan serta menjadi pilihan anak muda di negara ini termasuk pemegang ijazah dan diploma.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata ini dibuktikan apabila pelatih berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma bahkan berkelulusan ijazah tetap memohon untuk mengikuti kursus asas konstabel.

“Meskipun syarat kelulusan minima akademik iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperlukan untuk menjadi konstabel, namun ia turut dipohon oleh pelatih yang mempunyai STPM, diploma dan ijazah.

“Untuk hari ini, seramai 25 pelatih mempunyai kelulusan ijazah, 107 pelatih berkelulusan diploma dan 28 pelatih berkelulusan STPM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis Perbarisan Tamat PLAK Konstabel Lelaki Siri 09/2018 di Pusat Latihan Polis Air Hitam di sini, hari ini.

Katanya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menyambut baik kedatangan pelatih berkelulusan tinggi untuk menganggotai PDRM.

“Selain ia merupakan salah satu profesion di bawah Skim Perkhidmatan Awam yang mempunyai jaminan jelas dari aspek faedah dan keistimewaan, cita-cita dan semangat patriotik antara faktor peningkatan permohonan masyarakat untuk menyertai PDRM,” katanya.

Noor Rashid juga berharap para pelatih perlu mempamerkan sikap profesionalisme, berkredibiliti dan berhemah tinggi ketika berurusan dengan masyarakat.

“Ini kerana perilaku diri dan tatacara yang dipamerkan semasa menjalankan tugas akan mencerminkan imej PDRM di mata masyarakat,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 359 pelatih lelaki berjaya menamatkan latihan asas selama enam bulan yang bermula sejak 9 Sept tahun lepas.

Pada majlis yang sama, Amir Mubarak Kamloi, 26, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelatih Terbaik dalam kategori Terbaik Akademik; Zainul Zaqrey Zainol, 22, mendapat Anugerah Pelatih Terbaik dalam kategori Latihan Luar manakala Mohammad Anas Sabari, 24, menerima Anugerah Pelatih Terbaik dalam kategori Keseluruhan.

— BERNAMA