Anwar Ibrahim
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media mengenai pengumuman calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 11 MAC 2019

PETALING JAYA – PKR tidak menolak calon Barisan Nasional (BN) PRK DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan bakal memberi saingan sengit kepada calonn Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram dalam PRK DUN Rantau pada 13 April ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, ia tidak akan menghalang PH untuk mencipta kemenangan di kubu kuat BN itu meskipun terpaksa berdepan isu-isu perkauman.

“Tentunya kita bertanding melawan bertembung dengan seorang bekas menteri besar (Negeri Sembilan) tiga penggal dan sekarang Pemangku Presiden UMNO

“Kita tahu kesukarannya dan kita juga sedar ada pihak akan menggunakan isu kaum agama untuk menolak calon kita.

“Jadi kita, baik Melayu, Cina, India dan ahli mewakili Sabah dan Sarawak akan melakukan segala daya upaya memastikan kemenangan,” katanya pada sidang media ketika mengumumkan calon PH, Dr. S. Streram hari ini.

Pada PRU-14, Mohamad atau Tok Mad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon pada 28 April 2018 ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, pakar bius itu memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, beliau menamakan Mohamad sebagai responden pertama; pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Anwar juga berkata, pemilihan calon PH daripada kaum India  merupakan usaha PKR untuk mempertahankan prinsip dan dasar parti itu untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berdasarkan keadilan bagi semua kaum.

“Keputusan kita penting sebab tekanan daripada pelbagai pihak dengan perkembangan itu Pemangku Presiden UMNO dan perbincangan tentang isu Melayu kian hangat maka mesti letak calon Melayu.

“Saya anggap untuk memungkiri janji dan mengkhianati janji yang saya berikan semasa pilihan raya dulu semata-mata tekanan semasa, itu tidak akan menjadi satu yang waras dan munasabah untuk PKR,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast