Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Tidak sampai 24 jam, PKR mengumumkan calonnya, Dr S Streram untuk kembali bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali berkata calon yang dikemukakan itu akan menghadapi jalan sukar.

Menurut Azmin, Datuk Seri Mohamad Hasan jelas mempunyai kelebihan kerana pernah memimpin Negeri Sembilan selaku Menteri Besar.

“Ini satu PRK dan kita akui bahwa perjalanan kita ke Rantau itu mungkin menghadapai satu cabaran besar sekiranya UMNO letak Mohamad Hasan sebagai calon.

“Sudah tentu beliau mempunyai kelebihan memandangkan selaku bekas MB Negeri Sembilan dan selaku wakil rakyat kawasan itu,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Pakar bius itu dicalonkan semula untuk berdepan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di PRK Rantau pada 13 April depan.

Nama beliau diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti itu semalam.

Dalam pada itu, Azmin berkata, UMNO dan Pas akan terus memainkan sentimen perkauman yang dilihat sebagai survival parti berkenaan selama ini.

“UMNO akan terus mainkan isu perkauman dan itu memang survival mereka tapi PH sentiasa berpegang prinsip kita mahu semua rakyat Malaysia dapat nikmat pembangunan dan kemakmuran negara

“Kita akan memberikan penjelasan beberapa inisiatif kita lakukan dan harap rakyat terima pandangan dan dasar PH,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast