Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian akan cuba mendapatkan peruntukan besar menerusi belanjawan tahun depan dalam usaha menjadikan pertanian sebagai penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, untuk itu beliau akan menjadi seorang yang lantang dalam menyuarakan perkara tersebut.

Menurutnya, peruntukan yang sewajarnya adalah penting kepada kementerian berkenaan kerana ia memainkan peranan dalam usaha mencapai objektif pemantapan industri pertanian negara serta hala tuju.

“Kalau pentadbiran baharu PH mahu jadikan pertanian lebih maju ke hadapan, beberapa polisi harus kita lihat semula.

“Jangan kementerian diberikan bajet yang tidak sewajarnya dengan objektif yang hendak kita capai. Perjuangan saya untuk dapatkan lagi beberapa insentif daripada pihak kerajaan adalah satu polisi yang jelas.

“Kalau kita mahu pertanian selari dengan indsutri dari segi menyumbang ekonomi negara, jadi polisi itu kena jelas,” katanya.

Salahuddin berkata demikian kepada pemberita pada pra sidang media program BioUsahawan 2019 di sini hari ini.

Salahuddin menegaskan, beliau akan mendapatkan beberapa insentif daripada pihak kerajaan agar polisi yang dibawa oleh kementeriannya mencapai matlamat iaitu menjadi penyumbang kepada negara.

Sementara itu, Salahuddin menggesa peraih-peraih besar durian tidak meminggirkan penanam durian dalam kalangan orang Melayu dan Orang Asli.

Katanya, mereka perlu menolong dengan membeli durian yang bukan sahaja dari jenis Musang King, Duri Hitam atau jenama yang mahal, sebaliknya mereka perlu membantu hasil kepelbagaian durian yang ditanam.

“Saya minta tauke-tauke besar ini tolong Orang Asli, tolong orang Melayu. Kita kena kongsi.

“Jangan nak kaya sendiri, jangan nak senang sendiri. Kita mahu Malaysia yang boleh bersaing dalam apa jua perkara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast