Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd berkemungkinan melaksanakan pusingan terbaharu langkah pemberhentian beratus-ratus pekerjanya dalam usaha untuk terus bertahan dalam industri yang terjejas teruk akibat krisis Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – AirAsia Group Berhad (AirAsia) akan mendapat faedah daripada dominasi pasaran lebih luas jika kerajaan memutuskan untuk menutup operasi Malaysia Airlines.

HLIB Research kekal ragu-ragu dengan kemampuan dan keupayaan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk menampung kerugian syarikat penerbangan itu.

Firma penyelidikan itu berkata, adalah lebih baik bagi kerajaan untuk melucutkan pegangan dalam Malaysia Airlines atau mencari rakan strategik, yang mana ia akan menyelesaikan isu aliran tunai kerajaan, selain mengurangkan kesan keseluruhan pemberhentian kakitangan memandangkan syarikat itu masih memerlukan tenaga kerja untuk terus beroperasi.

Semalam, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang menimbangkan tiga pilihan untuk Malaysia Airlines – menutup operasinya, melupuskan aset atau melaksanakan pembiayaan semula.

Kenyataan itu dibuat selepas Khazanah merekodkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.896 bilion tahun sebelumnya.

Kerugian itu merupakan kali pertama dalam tempoh sedekad, yang salah satunya disebabkan kerugian besar dalam operasi syarikat penerbangan negara.

Menurut HLIB lagi, penutupan Malaysia Airlines akan memberi kesan negatif kepada Malaysia Airports Holding Berhad, sekurang-kurangnya dalam tempoh jangka pendek disebabkan aliran trafik lapangan terbang yang rendah. – MalaysiaGazette