KUALA LUMPUR – Pendedahan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat bahawa agensi-agensi kerajaan memutuskan untuk membiarkan bahan-bahan kimia yang telah menyebabkan insiden pencemaran Sungai Kim Kim begitu sahaja dengan alasan kos pembersihan yang tinggi amat mengejutkan.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) menyifatkan tindakan oleh agensi-agensi itu adalah keputusan paling bodoh dan tidak bertanggungjawab.

“Setiap bahan kimia boleh diuji dan kesan negatif boleh diketahui.

“Bagaimanakah agensi-agensi bertanggungjawab ini boleh membuat keputusan seperti ini dan membiarkan bahan-bahan kimia ini begitu sahaja?, soal Presidennya, Piarapakaran S.

Menurutnya, Seksyen 47 Akta Kualiti Alam Sekeliling memberikan kuasa kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menuntut kos dan perbelanjaan.

“Jika sesuatu segmen atau unsur alam sekeliling dicemari oleh seseorang bersalahan dengan akta ini atau dengan peraturan yang dibuat di bawahnya, Ketua Pengarah boleh mengambil apa-apa tindakan yang perlu bagi menghapus, menyurai, membinasa atau mengurangkan pencemaran itu dan boleh menuntut daripada orang itu segala kos dan perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengannya,” kata beliau,

AWER telah menggesa penggunaan seksyen ini berulang kali apabila pencemaran berlaku, justeru menteri berkenaan, agensi-agensi kerajaan berkaitan dan juga pegawai kanan agensi-agensi ini tidak mempunyai sebarang alasan bahawa mereka tidak sedar akan kewujudan seksyen 47 ini.

Disebabkan pendedahan dalam berita ini menunjukkan kegagalan menjalankan tugas yang serius, AWER menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menyiasat insiden pencemaran ini dengan telus dan memecat menteri berkenaan, Ketua Pengarah JAS dan Pengarah JAS Johor dengan serta-merta kerana mereka telah mengambil ringan nyawa rakyat. – MalaysiaGazette