Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran KL Bersih di JW Marriot, Kuala Lumpur.foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 14 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kes pencemaran toksin yang berlaku di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang, Johor akan dibawa ke mesyuarat Kabinet esok untuk diputuskan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, perkara itu akan dibincangkan oleh Kabinet esok kerana kerajaan masih belum mengadakan mesyuarat itu sejak minggu lalu.

“Kami semua dikemaskini setiap empat jam tentang keadaan di sana. Menteri Pendidikan, Alam Sekitar, Kesihatan dan Kerajaan Negeri Johor pun sudah turun.

“Pihak yang bertanggungjawab pun sudah dikenalpasti dan bahan yang dibuang. Kita bernasib baik sebab toksin sudah dikenalpasti dengan kadar yang segera, maka antidot pun sudah dikenalpasti.

“Bila Kabinet bertemu esok dan semua maklumat itu akan dibincangkan termasuklah persoalan hukuman yang harus dikenakan kepada pihak bertanggungjawab kerana melakukan pencemaran,” katanya selepas merasmikan Program KL Bersih di ibu negara hari ini.

Untuk rekod, semua mesyuarat Kabinet akan diadakan pada Jumaat sepanjang perbahasan Dewan Rakyat berlangsung.

Dalam pada itu, Khalid berpendapat tidak perlu untuk kerajaan mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang biarpun didesak oleh Ahli Parlimen kawasan itu, Hassan Abdul Karim.

“Tidak, ia tidak seteruk ini. Ia sudah dimaklumkan, malah sekolah pun sudah ditutup. Hampir keseluruhan sekolah di Johor sudah ditutup.

“Dalam tempoh masa tiga hari ini kita dapat lakukan tindakan yang boleh selesaikan masalah ini,” katanya lagi.

Hari ini Hassan mendesak agar PH supaya tidak memandang remeh isu pencemaan bahan kimia di Pasir Gudang dan segera mengisytiharkan perintah darurat bagi mengelakan perkara tidak diingini.

Bagaimanapun, beliau kesal kerana usul tergempar yang dibawanya di Dewan Rakyat tentang isu pencemaran sisa kimia hanya akan dibahaskan pada Isnin depan.

Pencemaran bahan kimia melibatkan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang menjejaskan lebih 500 orang awam yang kini dirawat di hospital.

Daripada jumlah itu, sembilan daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru. – MalaysiaGazette