Dua penduduk, Kamaruzzaman Mohd Taib (kanan) dan Nursatria Rabu (kiri) menunjukkan keadaan aliran Sungai Kim Kim yang tercemar dipercayai akibat pembuangan sisa toksik di Taman Kota Masai Cermai, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 16 MAC 2019.

PASIR GUDANG – Penduduk yang tinggal berdekatan dengan Sungai Kim Kim mengakui merasai keperitan hidup selepas 10 hari terpaksa menghidu bau busuk akibat pencemaran pembuangan sisa toksik di sungai berkenaan.

Malah, mereka mengadu tidak lagi tertahan untuk menanggung penderitaan itu apabila ada dalam kalangan keluarga terkesan dan mengalami alahan akibat bahan kimia yang tersebar melalui udara.

Rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette menggesa pihak berwajib membantu menyelesaikan segera masalah yang dihadapi.

Seorang penduduk, Kamaruzaman Mohd Taib, 44, dari Taman Cermai 26, Kota Masai berkata, keluarganya mengalami masalah batuk-batuk dan ada juga sesak nafas sejak beberapa hari lalu.

MGF15032019_SUNGAI KIM KIM CEMAR06
Kamaruzzaman Mohd Taib

Katanya, ada juga antara jiran tetangganya yang terpaksa di hantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Saya harap supaya cepatlah dibersihkan sungai ini. Makin lama pun dah tak tahan dah dengan bau busuk ni.

“Hari-hari takkan nak bertutup macam ini, lemas juga jadinya. Saya minta pantaulah,” katanya yang setiap masa terpaksa menggunakan topeng muka termasuk ketika berada di dalam rumah.

Seorang lagi penduduk, Nursatria Rabu, 33, pula berkata, dia juga turut terkesan apabila mengalami masalah sesak nafas akibat perkara itu.

Katanya, tidak setakat itu, kehidupannya juga menjadi tidak ceria kerana bau yang ditimbulkan dari toksik yang mengalir di sungai berkenaan menyebabkan mereka sekeluarga merasa loya terutama ketika mahu menjamah makanan.

“Bau sungai ini busuk sangat, manakan mungkin boleh ada selera nak makan bersama keluarga.

“Saya dan keluarga memang dah tak tertahan dengan keadaan ini. Saya harap perkara ini dapatlah diselesaikan segera agar kami boleh hidup seperti sediakala,” ujarnya.

Semalam, Menteri Tenaga Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dalam sidang media berkata, kerja-kerja pembersihan di Sungai Kim Kim yang tercemar dengan sisa toksik sudah dilakukan sejauh 680 meter.

Katanya, ia merupakan separuh daripada 1.5 kilometer kawasan yang terlibat dengan pembuangan sisa bahan kimia berkenaan.

Sebanyak 350 beg jumbo tanah dan 350 tan metrik air tercemar juga telah dikeluarkan dari Sungai tersebut.

Kesemua bahan tercemar itu dikumpul sejak 13 Mac dan akan dilupuskan di kilang pelupusan yang mendapat lesen dari Jabatan Alam Sekitar (JAS). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast