Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Datuk Yahya Madis (kanan) mendengar penerangan daripada timbalannya, Pauzan Ahmad (kiri) selepas sidang media mengenai perkembangan semasa pencemaran udara sisa bahan kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 16 MAC 2019.

PASIR GUDANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesahkan kehadiran gas hidrogen sianida yang terkandung dalam udara tercemar akibat pencemaran toksik di Sungai Kim Kim.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, hidrogen sianida adalah antara gas berbahaya daripada 15 gas yang dikesan pihaknya ketika melakukan pencerapan kualiti udara.

“Sepanjang operasi dijalankan, bacaan tertinggi yang direkodkan ialah 4.5ppm di Taman Tanjung Puteri pada Rabu lalu.

“Namun, bacaan itu hanya bertahan kira-kira dua jam sebelum kembali ke paras berjaga-jaga.

“Dalam bacaan tersebut, kita mengesan ia mengandungi 15 jenis gas dan antara gas berbahaya yang dikesan ialah hidrogen sianida,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat rawatan awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini sebentar tadi.

Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Twitternya mendakwa, wujud elemen sianida dalam tubuh sebilangan mangsa terjejas.

Mengulas lanjut Yahaya berkata, ada beberapa kawasan dibuat pengungsian selepas mencatatkan bacaan kualiti udara yang tinggi namun, tidak merebak ke kawasan lain.

Ujarnya, pihaknya mengklasifikasikan kawasan dalam radius 1.5 kilometer dari kawasan sungai tercemar kekal sebagai zon merah walaupun bacaan berada di bawah paras berjaga-jaga. – MalaysiaGazette