PASIR GUDANG – Kerja-kerja pembersihan di Sungai Kim Kim di sini yang tercemar dengan sisa toksik sudah dilakukan sejauh satu kilometer.
Menteri Tenaga Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, status pembersihan sungai berkenaan kini mempunyai perkembangan yang baik.
Menurutnya, langkah tersebut adalah disebabkan kepantasan pasukan yang terlibat dengan pembersihan melakukan gerak kerja sehingga malam tadi.
“Sampai petang kita ada 680 meter (kawasan yang dibersihkan) sahaja tapi malam mereka kerja dengan pantas dan satu kilometer telah siap.
“Paling tercemar sudah dibersihkan adalah di Sungai Kim Kim. Kita harap hari ini dan esok maksimum kita boleh bersihkan kalau iada hujan dan cuaca baik. kita boleh bersihkan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan lawatan menemui pesakit yang ditempatkan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.
Beliau ditemani Pakar Psikologi Klinikal Mercy Malaysia, Azlina Roszy Mohd Gaffar.
Dalam pada itu, Bee Yin berkata, kehadirannya pagi ini di pusat berkenaan adalah untuk meninjau situasi bagi melihat sama ada langkah pembersihan mampu mengurangkan mangsa yang ditempatkan di situ.
“Hari ini saya datang untuk lihat sama ada apa yang kita tengok semalam (jumlah yang menerima rawatan) kurang daripada hari sebelumnnya,” ujarnya.
Sementara itu, Azlina Roszy ketika mengulas mengenai perkara sama berkata, setakat semalam pihaknya menerima lebih kurang 90 peratus orang awam yang dirujuk ke pusat berkenaan.
Katanya, kes yang banyak dihadapi ialah kebanyakan pesakit mengalami masalah cemas dan bimbang terhadap situasi pencemaran yang berlaku.
“Bila mereka panik dia akan datang dengan sifat bernafas terlalu laju hingga boleh menyebabkan sesak nafas.
“Kadang-kadang simptom ini diburukkan kalau dia ada sakit asma atau penyakit kronik lain hingga akan jadi lebih teruk.
“Dia akan dapat gatal-gatal alahan kulit atau pening kepala dan sebagainya. Simptom ini disebabkan rasa panik dan cemas. Ini bukan masalah perubatan tapi panik dan cemas. – MalaysiaGazette