Datuk Seri Ronald Kiandee. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018
Ronald Kiandee

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ronald Kiandee akan terus menjalankan tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan tidak digantikan dengan calon lain.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, semua parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) sebulat suara bersetuju ahli baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu terus kekal menjalankan tanggungjawab itu di Parlimen.

Ditanya kenapa PH tidak menukar jawatan pengerusi PAC itu ekoran kritikan daripada orang ramai yang mendakwa Ronald kekal memegang jawatan itu merupakan satu lagi tindakan perlanggaran janji manifesto oleh PH.

Pengerusi PH itu berkata, kerajaan memerintah tidak melanggar janji manifesto dalam soal perlantikan pengerusi PAC dalam kalangan pembangkang seperti yang dipersetujui sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

“Kami tak menjangkakan langsung dia (Ronald Kiandee) akan berhijrah, dia daripada parti lawan dan kita pilih dia (pengerusi PAC) itu bermakna kita patuh kepada perjanjian manifesto kita,” katanya kepada pemberita di di sini.

Beliau hadir bersama Menteri Wilayah Khalid Abd Samad untuk melancarkan Program Ikon Remaja anjuran kementerian Wilayah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pagi hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu, tindakan Ronald yang menyertai parti kerajaan adalah suatu di luar jangkaan pemimpin Parlimen Beluran itu sendiri.

“Dia bukannya dipilih (Pengerusi PAC) daripada parti kerajaan, dia dari parti lawan (masuk PPBM), jadi tidak berubah ( status PAC)).

“Kita menepati janji kita tapi dia pilih masuk PPBM kalau kita tak benarkan dia masuk pun tak boleh, lagipun yang saya tahu semua setuju dia kekal (pengerusi PAC),” kata beliau kepada soalan wartawan. – MalaysiaGazette