KUALA LUMPUR – Keputusan MCA untuk terus kekal bersama-sama Barisan Nasional (BN) tatkala UMNO menjalinkan kerjasama rasmi dengan Pas akan menguatkan lagi perpaduan rakyat pelbagai kaum dalam negara ini.
Tidak rasa tergugat dengan parti Islam itu, sebaliknya menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, MCA telah melihat kesatuan BN sedikit sebanyak akan menyumbangkan kepada keharmonian negara apabila parti yang berjaya bekerjasama terdiri daripada pelbagai kaum.
“(Tidak rasa tergugat) Malah kalau MCA kekal akan mengukuhkan perpaduan antara kaum dalam negara kita. MCA memandang itu satu keperluan untuk mengekalkan keharmonian kaum maka kesatuannya dalam BN tidak boleh dipecahkan,” kata Ketua Pembangkang kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Meskipun MCA hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen namun tambah Ismail Sabri, UMNO akan terus bersama-sama parti itu untuk saling bantu-membantu.
Beliau yakin MCA mempunyai perancangan yang baik untuk kembali meraih sokongan kaum Cina khususnya dalam masa yang sama memberi simbolik perpaduan yang baik dalam negara.
“Kita tak boleh apabila sahabat kita susah dalam keadaan hari ni masyarakat Cina mungkin tidak menyokong MCA dengan begitu baik, maka kita akan tinggalkan rakan kita.
“Kita mesti bantu rakan kita untuk bangun kembali.
Saya percaya MCA akan mempunyai perancangan dia strategi dia untuk bangun kembali. Sebagai rakan komponen kita akan bantu MCA,” tambahnya. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/17/mca-tetap-kekal-bersama-bn/