Dr. Sahruddin Jamal

PASIR GUDANG – Jumlah pesakit yang terjejas dengan pencemaran sisa toksik di dua buah hospital kini direkodkan hanya tinggal 29 orang berbanding 120 semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, sehingga pukul 12 tengah malam tadi, jumlah pesakit yang dibenarkan pulang setelah menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) adalah seramai 119 orang.

“Empat orang pesakit masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding tujuh pesakit sebelum ini, dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Progres kerja-kerja pembersihan setakat hari ini, berlangsung dengan lancar, di mana sepanjang 1.5 kilometer kawasan yang terjejas dengan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang telah berjaya dibersihkan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, pihak berkuasa akan terus melakukan pemantauan kualiti udara di 42 buah sekolah dalam kawasan radius lima hingga sembilan kilometer dari lokasi bencana.

Dalam pada itu, Sahruddin menjelaskan, kajian dibuat Jabatan Veterinar mendapati tiada ternakan yang terjejas akibat insiden ini. – MalaysiaGazette