Situasi pencemaran udara yang berlaku ekoran pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim tidak menghalang dua beradik menjalankan aktiviti mencari kerang di muara Sungai Kim Kim, di Pasir gudang Johor. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2019.

PASIR GUDANG – Pencemaran sisa toksik yang berlaku di Sungai Kim Kim di sini bukan sahaja menutup pintu rezeki para nelayan sebaliknya Orang Asli juga terasa kesannya.

Namun golongan yang menjadikan sungai berkenaan sebagai mata pencarian mereka tiada pilihan lain.

Meskipun mengetahui sungai yang tercemar itu tidak lagi mendatangkan hasil, mereka tetap juga turun ke muara sungai dengan harapan untuk mendapatkan hasil mencari kerang.

Tinjauan Malaysia Gazette di sungai yang tercemar itu mendapati, masih ada lagi Orang Asli yang tabah meredah selut berlumpur dan berbau busuk untuk mencari rezeki walaupun air sungai Kim Kim itu sudah berubah warna.

Seorang remaja Orang Asli yang ditemui ketika sedang mencari kerang bersama ayah, ibu dan adik lelakinya, Rashid Seli, 16, berkata, dia dan kedua orang tuanya terpaksa juga turun ke muara sungai Kim Kim kerana ia tempat mereka mencari rezeki.

Walaupun sedar sungai itu tidak lagi mendatangkan hasil yang lumayan tetapi dia dan orang tuanya terpaksa juga berbuat demikian bagi memastikan ‘dapur rumah mereka berasap’.

“Kalau tidak dijual, kami jadikan hasil carian kerang ini sebagai lauk untuk dimakan. Sungai ini sudah hitam, tidak macam dulu. Airnya pula mengeluarkan bau busuk seperti longkang.

“Tapi kami kena juga cari kerang, kalau tidak dapur rumah tidak berasap,” kata remaja tersebut yang sudah tidak lagi bersekolah.

Menceritakan kehidupannya sekeluarga selepas berlakunya pencemaran sisa kimia di sungai berkenaan, Rashid mengakui pendapatan mereka terjejas.

Ujarnya, jika sebelum ini, ayah dan ibunya boleh mendapat hasil carian kerang lebih dari lima kilogram sehari dan dijual dengan harga RM12 sekilogram tetapi kini, hasil carian kerang tidak pun sampai sekilogram.

Perkara itu kata Rashid sememangnya memeritkan namun, mereka terpaksa tabah untuk melaluinya kerana tidak mempunyai modal sekiranya mahu berniaga secara kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan harian keluarga.

“Apa boleh kami buat, dah ini sahaja rezeki yang ada. Kami hanya dapat berharap keadaan pulih seperti sediakala. Sudah tidak tertahan lagi kami hendak menanggung penderitaan ini,” ujarnya.

Sementara itu, berdasarkan pemerhatian, keluarga tersebut tidak pun memakai sebarang kelengkapan pelindung diri meskipun topeng muka ketika menyusur muara sungai yang sudah tercemar itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast