KUALA LUMPUR – Kerajaan masih memohon Singapura untuk meringankan hukuman mati terhadap seorang rakyat Malaysia yang dijadualkan Jumaat ini.

Mendedahkan perkara tersebut, Menteri di Jabatan di Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, pihaknya sedang melakukan usaha ‘saat-saat akhir’ bagi cubaan mendapatkan belas daripada kerajaan republik berkenaan.

“Kita sudah hantar surat rayuan kepada Presiden Singapura bagi mempertimbangkan hasrat kita meringankan hukuman mati yang akan dilaksanakan Jumaat ini terhadap seorang rakyat kita di sana.

“Singapura akan tetap pendirian terhadap undang-undang mereka dan kita hormati keputusan dalam isu kesalahan menyeludup dadah sebelum ini, cuma kita sekali lagi ada buat rayuan terus kepada Presiden Singapura mohon hukuman itu ditukar kepada penjara seumur hidup.

“Kita hormat pendirian Singapura berhubung undang-undang mereka tetapi kita masih mahu membuat rayuan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Mahkamah Agung Singapura menolak rayuan hukuman mati yang dikenakan ke atas pekerja buruh dari Sarawak, Michael Garing kerana menyebabkan kematian seorang warga India, D. Shanmuganathan, 41, dalam siri jenayah kejam di Kallang pada tahun 2010.

Michael merupakan antara empat lelaki rakyat Sarawak yang didapati terbabit melakukan empat samun jenayah.

Tambah Vui Keong, pihaknya membuat pendekatan yang sama seperti kes Prabu N. Pathmanathan yang berusia 31 tahun dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar 227.82g heroin ke republik itu pada 31 Disember 2014.

Pada tahun lalu, kerajaan telah menulis surat rayuan kepada kerajaan Singapura memohon hukuman mati terhadap Prabu digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup.

Bagaimanapun, rayuan itu ditolak dan Prabu digantung pada pagi 26 Oktober tahun lepas. –MalaysiaGazette