KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tragedi hitam yang berlaku di dua masjid di Christchurch  harus menjadi pengajaran kepada semua untuk terus memelihara kedamaian dan tidak sesekali mendukung kebencian yang memecah belah agama dan bangsa.

“Genap seminggu selepas tragedi hitam kemanusiaan di Christchurch, tiada kata dapat menzahirkan apa yang dirasai ahli keluarga mangsa korban.

“Doa dan ingatan saya akan terus bersama ahli keluarga, moga terus cekal menempuh detik ini,” kata Presiden PKR itu dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anwar melahirkan rasa terharu dengan perkembangan hari ini di New Zealand yang menjalankan sesi tafakur selama dua minit dan menyiarkan seruan azan secara langsung di saluran televisyen dan radio nasional negara itu.

“Langkah ini harus dipuji dan ia sebagai cerminan manifestasi New Zealand di bawah teraju Perdana Menteri, Jacinda Ardern yang terus teguh menyokong masyarakat Islam,” katanya lagi.

Insiden pada Jumaat lalu, mengorbankan 50 umat Islam termasuk seorang rakyat Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17.

Muhammad Haziq disahkan antara mangsa yang meninggal dunia dalam serangan tersebut pada Khamis lalu.

Ketika kejadian pada jam 1.40 tengah hari waktu New Zealand itu, Mohd Tarmizi bersama Muhammad Haziq dan seorang lagi anaknya, Mohd Haris, 12, hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Mohd Haris terselamat tetapi trauma, manakala Mohd Tarmizi parah. – MalaysiaGazette