KUALA LUMPUR – Sebanyak 171 Orang Kurang Upaya (OKU) menerima Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU) yang mellibatkan peruntukan sebanyak RM5,898,751.09 bagi tempoh antara 2016 hingga 2018.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, skim itu bukan sahaja membantu OKU mengembangkan perniagaan namun memastikan penerima geran berpotensi untuk menggaji golongan sama, sekaligus meningkatkan penyertaan OKU di dalam pasaran buruh.
Beliau memberitahu, geran tersebut boleh dimohon oleh persatuan OKU agar dapat dimanfaatkan bagi membantu mereka membuka ruang kepada pelatih dan graduan dalam bidang perniagaan.
“Selain dari SBGP-OKU, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga ada menawarkan geran pelancaran bagi membantu penerima bantuan JKM termasuk OKU untuk memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan.
“Agensi lain seperti MARA dan TEKUN juga menyediakan pinjaman mudah jika sekiranya ada yang berminat untuk berniaga.
“Agensi seperti ini bukan sahaja membantu dari segi kemudahan pinjaman modal tetapi juga memberikan khidmat nasihat dan kepakaran teknikal yang besesuai kepada penerimanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) 2017/2018 di sini hari ini.
Mahfuz menambah, Jabatan Tenaga Kerja melalui JobsMalaysia akan sentiasa berusaha menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak majikan bagi memastikan golongan OKU tidak dipinggirkan dalam apa juga bidang pekerjaan yang ada.
Jelas beliau, bagi tahun 2018 sahaja, sejumlah 167 orang OKU telah berjaya ditempatkan di dalam pasaran buruh melalui program-program kebolehpasaran yang dianjurkan oleh pihak JobsMalaysia Kuala Lumpur dengan harapan jumlah itu akan terus meningkat saban tahun.
“Kerjasama strategik bersama agensi kerajaan lainnya juga akan dipergiatkan sebagai contoh bersama JKM di bawah Program Jobcoach yang terbukti membantu OKU menyesuaikan diri ditempat pekerjaan dan seterusnya kekal di dalam pekerjaannya.
“Di samping itu, golongan OKU juga diminta untuk bukan sahaja memilih bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai laluan kedua tetapi sebagai laluan alternatif yang memberi peluang memperolehi pekerjaan yang membayar gaji tinggi sama seperti yang memilih bidang pekerjaan professional seperti jurutera dan akauntan.
“Selain itu, TVET juga memberi pendedahan kepada golongan OKU untuk menguasai TVET ialah kekuatan dan kemahiran psikomotor dan kombinasi penggunaan deria yang synchronize,” katanya.
Mahfuz juga menyeru majikan di negara ini agar memberikan perhatian dan komitmen kepada usaha memberikan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan kepada golongan OKU serta menyediakan tempat pekerjaan yang mesra OKU. – MalaysiaGazette.