Pelakon, Nina Iskandar (kanan) dan Peguam, Mohd Irwan Mohd Mubarak (tengah) selepas sidang media khas berhubung fitnah yang mendakwa beliau menjadi punca perceraian seorang penolong pengarah di The Royal Widad Residence, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 23 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Pelakon Nina Iskandar memberi tempoh tujuh hari kepada individu yang membuat fitnah terhadap dirinya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka atau berdepan tindakan saman.

Nina, 27, berkata, tuduhan dirinya sebagai punca keruntuhan rumah tangga penolong pengarah, Lah Lebah jelas tidak berasas.

Tegas wanita kelahiran Brunei itu, dia mahu membersihkan nama selepas kontroversi itu cuba merosakkan kariernya.

“Sidang media ini diadakan bagi membersihkan nama saya yang terjejas kerana ia bukan sahaja membabitkan saya, sebaliknya turut memberi kesan kepada kerjaya dan keluarga yang berada di Brunei.

“Cerita ini menjadi semakin tular apabila ia diterbitkan oleh sebuah media arus perdana. Jadi, saya terus mendapatkan nasihat peguam untuk berhadapan dengan isu terbabit.

“Permohonan maaf perlu dibuat secara terbuka dalam tempoh seminggu sebelum tindakan seterusnya diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas bagi membersihkan namanya daripada fitnah yang menjadi punca perpisahan penolong pengarah berkenaan di sini hari ini.

Nina turut menjelaskan, hubungan dia dan Lah Lebah sekadar teman biasa dan atas dasar profesional.

Jelas pelakon yang popular dengan drama Andainya Takdir itu berkata, apa jua paparan di media sosialnya cuma sekadar jenaka dan dia tidak akan memadamkan mana-mana video daripada laman sosialnya itu.

Sementara itu, peguamnya, Mohd. Irwan Mohd Mubarak berkata, pihaknya sudah menghantar surat tuntutan maaf secara terbuka dan notis dihantar pada dua tarikh iaitu 15 dan 21 Mac lalu kepada pihak berbeza.

“Kami memberikan tempoh sehingga 27 Mac ini sebelum memfailkan saman terhadap pihak terbabit.

“Saya juga telah menasihati anak guam agar tidak memberikan kenyataan lanjut berhubung hal ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast