Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)

KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah mendokumentasikan segala data akademik untuk menyakinkan pihak berkepentingan lain untuk memberi sokongan kepada pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Data tersebut turut melibatkan dokumen mengenai soal kelayakan mata pelajaran Bahasa Melayu dalam UEC.

Anggota dalam jawatankuasa khas mengenai UEC, Datuk Tan Yew Sing berkata, dalam sesi-sesi dialog yang diadakan, Dong Zong telah menyediakan semua dokumen secara bersungguh-sungguh dan teliti.

Keadaan itu, menurut Yew Sing, memberi markah tambahan kepada Dong Zong dalam soal pengiktirafan UEC.

“Disebabkan usaha Dong Zong ini, pihak berkepentingan yang menghadiri dialog termasuk pertubuhan yang membantah pengiktirafan UEC secara sekeras-kerasnya kini tidak lagi mempersoalkan kelayakan akademik UEC.

“Mereka membantah atas isu lain, tetapi bukan lagi berasaskan soal kelayakan akademik UEC,” katanya kepada China Press.

Yew Sing bagaimanapun berkata, Dong Zong masih berdepan cabaran untuk menyakinkan sesetengah pertubuhan yang kurang memahami kandungan buku teks dan mekanisme persekolahan sekolah persendirian Cina.

“Ia adalah satu cabaran besar untuk menyakinkan orang bahawa isu UEC ialah isu pendidikan yang bertujuan untuk meningkatkan kepelbagaian dan meningkatkan daya saing negara,” katanya.

Yew Sing berkata, kumpulan yang paling tegas dalam menentang pengiktirafan UEC ialah mereka yang berpendapat bahawa UEC bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara.

Menurutnya, kumpulan berkenaan juga beranggapan bahawa kandungan buku teks sekolah persendirian Cina adalah berdasarkan keadaan di China dan Taiwan.

“Jawatankuasa justeru memberitahu mereka bahawa lebih 80 peratus pelajar sekolah persendirian Cina telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). ” Kami turut menjelaskan bahawa buku teks Sejarah memfokus kepada sejarah Malaysia dan berbincang tentang empat tamadun dunia,” katanya.

Mengenai dua lagi anggota dalam Jawatankuasa UEC, Eddin Khoo dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab. Rahim, Yew Sing berkata, mereka telah menjalankan tugas secara neutral dan rasional dengan mengutamakan kepentingan negara. – MalaysiaGazette