Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kesal dengan kekasaran dan menolak sekeras-kerasnya percubaan untuk menyekat kebebasan pelajar bersuara sebagaimana yang berlaku ke atas aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Menurut KPM, perbezaan pendapat, ideologi dan pandangan tidak wajar dijadikan sebab untuk melakukan kekasaran kepada sesiapa sahaja.

“Semua universiti awam telah mengupayakan para mahasiswa untuk bebas bersuara dan berpolitik dengan pembatalan Seksyen 15(2)(c) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [Akta30]; Perenggan 47(2(c) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta555] dan Perenggan 10(2)(c) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 pada bulan Disember 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan tindakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan beberapa penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat bertindak kasar terhadap tujuh pelajar UM di hadapan pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian tersebut, Lokman merampas dan mengoyak poster yang dipegang sekumpulan pelajar.

Bagaimanapun, Lokman menjelaskan jika pelajar tersebut tidak menggunakan placard dan karikatur wajah badut Najib, beliau akan membiarkan sahaja pelajar-pelajar tersebut menggunakan hak mereka untuk berhimpun.

Menurut KPM, toleransi dan hormat-menghormati adalah budaya
masyarakat majmuk di Malaysia yang tidak boleh digadaikan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

“Setiap mahasiswa merupakan anak-anak kita dan generasi masa hadapan yang perlu dipimpin untuk meneruskan nilai-nilai murni seperti sikap toleransi, bertolak-ansur serta saling memahami,” katanya.

Menurut kenyatan itu, mereka perlu dididik untuk menyantuni serta meraikan perbezaan agar keharmonian dan keamanan yang telah terjalin sekian lam dapat diteruskan.

Selain itu, tambahnya, institusi pendidikan tinggi perlu memelihara pengupayaan mahasiswa demi memperkasakan
kewibawaan pendidikan tinggi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast