KUALA LUMPUR – Orang ramai sudah boleh mengakses sistem semakan pemilih di MySPR Semak dan portal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mulai pukul 8 malam tadi.
SPR dalam kenyataannya berkata, ada gangguan teknikal berlaku hingga menyebabkan aplikasi MySPR Semak dan portal SPR tidak dapat berhubung dengan pangkalan data utama pengundi.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun memberi jaminan bahawa maklumat pemilih dalam pangkalan data tidak terjejas dengan gangguan itu.
Malah, daftar pemilih Pilihan Raya Kecil Dewan (DPPR) Undangan Negeri, Rantau juga tidak terjejas.
DPPR bagi PRK DUN Rantau telah mula dijual pada 14 Mac lalu.
SPR akan mula mengedarkan kad pengundi mulai 27 Mac ini kepada semua pengundi PRK DUN Rantau. – MalaysiaGazette