Mohamaddin
Datuk Mohamaddin Ketapi. foto HAZROL ZAINAL, 17 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak terlibat dengan pembinaan Tugu Peringatan Askar Jepun di Jalan Raja, Alor Setar, Kedah sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, ini kerana ia dibina bukan di atas tanah Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kementerian telah mengambil inisiatif untuk mengenal pasti status lokasinya sebaik tular di media sosial kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa mengiktiraf askar Jepun sebagai wira.

“Saya fikir tanah itu di bawah pengurusan kerajaan negeri. Memang bukan milik kita (Kerajaan Persekutuan) kerana sudah kenal pasti.

“Pembinaan tugu itu bukan di kawasan kita dan bukan di bawah Jabatan Warisan Negara. Kawasan kita adalah sebelah pembinaan tugu itu,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan Kedah, Asmirul Anuar Aris merasmikan Tugu Peringatan Askar Jepun anjuran Konsulat Jepun di Pulau Pinang, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah dan Lembaga Muzium Negeri Kedah di Jalan Raja, Alor Setar, Kedah.

Beliau berkata, tugu yang terletak di Perkarangan Pejabat Kementerian Pelancongan negeri itu sudah lama dibina di situ dan diubahsuai semula menerusi pembiayaan pihak konsulat negara itu.

Bagaimanapun, papan maklumat berkaitan perkara itu di tugu askar negara tersebut di sini segera diturunkan semalam selepas menerima kritikan pelbagai pihak di media sosial kerana menggunakan gelaran wira kepada tentera Jepun yang menjajah tanah air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast