Friday, April 26, 2024
Home Nasional Tukar Pengerusi PAC baharu ambil masa – Kor Ming

Tukar Pengerusi PAC baharu ambil masa – Kor Ming

Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Sebarang pertukaran Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee dengan Ahli Parlimen pembangkang perlu dilakukan dalam masa yang sesuai.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming memberitahu, walaupun tiada had waktu khusus ditetapkan namun ia bergantung kepada kepada kes-kes yang sedang dikendalikan jawatankuasa itu akan selesai.

“Beri sedikit masa dan kerajaan akan memilih Pengerusi PAC baharu pada waktu sesuai kerana ketika ini banyak kes yang sedang didengar jawatankuasa tersebut.

“Saya rasa pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan kerajaan akan mencari satu masa yang sesuai seperti yang telah diperkatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Terpulang kepada bilakah kes yang sedang didengar PAC itu akan selesai,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Kedudukan Ronald sebagai Pengerusi PAC terus dipersoal ketika sesi soal jawab pada Dewan Rakyat hari ini apabila penyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa jawatan itu ditukarkan dengan Ahli Parlimen pembangkang.

Kerajaan PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 telah berjanji agar Pengerusi PAC akan dipilih dalam kalangan wakil pembangkang.

Namun Ronald dilantik memegang jawatan itu sewaktu masih bersama UMNO dan Barisan Nasional.

Bagaimanapun beliau bersama beberapa lagi Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar daripada parti itu pada akhir tahun lalu dan kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 15 Mac lalu.

Semalam, Dr. Mahathir memberitahu kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mencari calon yang sesuai bagi memegang jawatan Pengerusi PAC namun pada ketika ini jawatan berkenaan akan terus disandang Ronald.

Kenyataan itu susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang juga seorang daripada Ahli PAC berasa tidak berpuas hati dengan pemilihan kepemimpinan PAC. – MalaysiaGazette