KUALA LUMPUR – Walaupun namanya disebut-sebut dalam isu penjualan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines), AirAsia sebenarnya tidak mendapat sebarang tawaran daripada kerajaan untuk membeli syarikat itu.

Malah, syarikat penerbangan tambang rendah itu juga tidak mengemukakan sebarang tawaran  untuk membeli Malaysia Airlines.

Sumber dalaman AirAsia berkata: “Yang riuh hanya di luar tetapi hakikatnya AirAsia tidak terlibat dalam perbincangan untuk membeli Malaysia Airlines.

“Mungkin (Tan Sri) Tony Fernandes serik selepas pertukaran saham membabitkan kedua-duanya dulu terbatal,” kata sumber secara berseloroh.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu panas yang melanda Malaysia Airlines selepas dicadangkan dijual ekoran masalah kewangannya yang masih gagal diselesaikan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, melupuskan Malaysia Airlines merupakan antara pilihan yang ada tetapi mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak.

Dalam isu yang masih berlarutan itu, sudah tentu nama AirAsia turut disebut-sebut sebagai syarikat yang layak mengambil alih operasi Malaysia Airlines berbanding syarikat asing.

Namun, sumber percaya sudah tentu AirAsia akan mempertimbangkan tawaran tersebut jika ia ditawarkan oleh kerajaan.

“Apa pun ia bisnes, sudah tentu akan dipertimbangkan,” ujar sumber. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast