KUALA LUMPUR – Tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang disiasat atau didakwa di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 atau Akta 803 sejak undang-undang tersebut dikuatkuasakan pada 11 April tahun lalu.
Bagaimanapun, kerajaan tetap akan meneruskan hasrat untuk memansuhkan akta berkenaan kerana menyifatkan negara sudah mempunyai undang-undang mencukupi bagi memantau penyebaran berita palsu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.
Beliau berkata, meskipun ia akan dimansuhkan tetapi tidak bermakna kerajaan akan mengamalkan sikap toleransi berhubung penyebaran berita tidak benar termasuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W atau mana-mana agama serta institusi diraja.
“Secara teknikal sehingga pemansuhan akta berkuatkuasa. Akta tersebut dari segi perundangan masih boleh dikuatkuasakan.
“Namun, memandangkan kerajaan PH (Pakatan Harapan) adalah kerajaan yang mendukup prinsip ‘Rule of Law’ tiada mana-mana siasatan jauh sekali pendakwaan dilakukan ke atas mana-mana orang di bawah Akta 803,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (BN-Maran) yang menanyakan berapa ramai individu yang telah dikenakan tindakan mengikut Akta AntiBerita Tidak Benar termasuk yang mengeluarkan kata-kata menghina raja dan menyentuh sensitiviti agama dan bangsa.
Dalam pada itu Hanipa menegaskan, terdapat siasatan dan pendakwaan ke atas pihak-pihak tertentu di bawah akta yang lain terhadap jenayah penghinaan ke atas nabi, penghinaan ke atas agama dan juga penghinaan kepada raja, sama ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette