KUALA LUMPUR- Bantuan Sara Hidup (BSH) golongan bujang B40 sebanyak RM100 telah dibayar kepada tiga juta individu melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM300 juta minggu ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM120 juta untuk Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi.
Di bawah bantuan tersebut, setiap penuntut pendidikan tinggi diberi RM100 melalui Kad Diskaun Siswa Bank Rakyat.
Bantuan itu dijangka memanfaatkan seramai 1.2 juta pelajar dan telah disalurkan secara berperingkat bermula semalam.
“Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada isu kos sara hidup, terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah dan akan mengambil langkah untuk memastikan bantuan bagi golongan yang benar-benar memerlukannya.
“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada: [email protected],” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 28 Januari lalu, kerajaan telah turut membuat bayaran BSH fasa pertama sebanyak RM300 kepada 4.1 juta isi rumah dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 Bilion, sebagai langkah memenuhi janji.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
BSH: Tak semua orang berkahwin, ada bujang yang miskin