Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes meluangkan masa bergambar dan sesi tanda tangan bersama peminat selepas Pelancaran Buku ‘Terbang Tinggi’ oleh Tony Fernandes sempena Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd., Tan Sri Tony Fernandes berkata, e-dompet BigPay syarikat penerbangan itu akan mematuhi syariah menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata ketika ini hampir semua operasi kewangan AirAsia telah menepati syariah dan pihaknya mahu menjadi perkhidmatan kewangan syarikat sebagai inklusif.

“Salah seorang ahli lembaga kami dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencadangkan kami mematuhi syariah sepenuhnya.

“Ia masuk akal dan kami kami sedang menuju ke arah itu,” katanya pada majlis pelancaran buku kisah hidupnya edisi bahasa Melayu berjudul Terbang Tinggi di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Pelancaran buku itu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bermula semalam hingga 7 April ini.

Mengulas lanjut, Tony memberitahu, pihaknya mahu Big Pay mematuhi syariah secepat mungkin namun ia bukan di bawah kawalannya.

“Pengawa lselia yang perlu meluluskannya,” katanya lagi.

Pada awal tahun lalu, AirAsia mengumumkan perkhidmatan e-dompet BigPay yang merupakan sebahagian daripada strategi digital AirAsia untuk meneroka pangkalan data 63 juta penumpang syarikat penerbangan tambang rendah itu.

Dompet elektronik BigPay menawarkan perkhidmatan pengiriman wang dan kemungkinan perkhidmatan pinjaman wang kepada pelanggan AirAsia.

Maklumat mengenai BigPay di Google Play store menyatakan perkhidmatan itu bertujuan mewujudkan pembayaran masa depan di Asia Tenggara dengan menyediakan akses wang yang terjamin dan mudah kepada pengguna pada bila-bila masa dan tempat.

Ia menggabungkan aplikasi mudah alih dengan fleksibiliti Mastercard prabayar yang di­terima lebih 30 juta pedagang di seluruh dunia, yang membolehkan pengguna mengurus kewa­ngan secara digital. Nilai pula boleh ditambah menggunakan kad de­bit atau kredit mereka.

Laman aplikasi itu juga menjamin BigPay dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia, selain memiliki protokol keselamatan terkini, termasuk cap jari dan perakuan muka bagi mengesahkan identiti. – MalaysiaGazette