Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pelik dengan sikap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membisu berhubung penamatan kontrak Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai penaja utama MFL.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, sebagai Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq sepatutnya membela bola sepak yang merupakan sukan nombor satu di Malaysia.

“Menteri Belia dan Sukan sepatutnya membela sukan nombor satu negara. Telekom Malaysia tarik balik penajaan dan yang terjejas semua pasukan yang bertanding,” katanya dalam Twitter HRH Crown Prince of Johor semalam.

Pada 15 Mac lalu, MFL mengumuman penamatan kontrak TM sebagai penaja utama Liga Malaysia (Liga M) ekoran kegagalan syarikat telekomunikasi negara itu mematuhi kontrak perjanjian lapan tahun, termasuk gagal membuat bayaran untuk tahun 2019 berjumlah RM60 juta.

Susulan daripada itu, MFL mengheret TM ke muka pengadilan dengan memfailkan saman melebihi RM400 juta kerana mahu mempertahankan kepentingan pasukan yang bertanding dalam Liga M.

Sementara itu, Tunku Ismail turut menegur Kementerian Belia dan Sukan kerana masih gagal menyalurkan peruntukan kepada Johor yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2020.

“Mesyuarat Sukma sudah beberapa kali diadakan tetapi duit masih tidak disalurkan kepada Johor. Sila buat kerja bukan sekadar bercakap,” kata Tunku Ismail lagi. – MalaysiaGazette