Husam Musa

KOTA BHARU – Keanggotaan Mohd Nor Yassin, 67, dalam Parti Amanah Negara (Amanah) gugur secara automatik susulan tindakannya bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa berkata, tindakan Mohd Nor adalah bersifat peribadi dan tidak membabitkan keputusan parti itu.

“Dia dah masuk (bertanding sebagai) calon bebas, dia dah tak jadi ahlilah. Mana-mana anggota parti politik yang ambil tindakan sendiri, keahliannya gugur (secara automatik dan) tidak boleh dikaitkan dengan AMANAH,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Gegar 2019 di Bandar Baharu Tunjong di sini, hari ini.

Husam berkata demikian sebagai mengulas tindakan calon bebas itu yang bertanding dalam PRK DUN Rantau, yang didakwa telah menyertai Amanah pada 10 Mac lepas.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan sebelum itu turut menafikan Mohd Nor adalah calon PAS.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr S. Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas, Malarvizhi Rajaram serta Mohd Nor Yassin.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 April sebagai hari mengundi, manakala 9 April sebagai hari mengundi awal.

DUN Rantau mempunyai 20,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast