Akhyar Rashid

ALOR SETAR – Biar pun hanya beraksi tidak sampai 10 minit di atas padang, aksi Akhyar Rashid mencuri tumpuan
di Stadium Darul Aman malam tadi.

Masuk pada minit ke-83 menggantikan Safawi Rasid, kepulangan Akhyar atau popular dengan panggilan Mat Yat jelas tidak dialu-alukan.

Pemain berusia 20 tahun itu disambut dengan ejekan ‘boo’ dalam perlawanan Liga Super yang menyaksikan Kedah seri 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Akhyar terpaksa melalui malam yang tidak pernah terfikir olehnya bergelar anak Kedah apabila diejek penyokong Lang Merah setiap kali mendapat bola biarpun situasi itu dijangka sejak awal.

Dalam aksi panas yang berlangsung di depan 25,000 penonton, JDT bermula garang apabila mendahului Kedah seawal minit ke-10 menerusi sepakan percuma Safawi Rasid dari jarak 25 meter yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal.

Namun penyokong tuan rumah kembali ceria menyambut jaringan penyamaan skuad Lang Merah pada minit ke-30 menerusi tandukan Rodriguez ketika keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti dengan Farizal hanya mampu melihat bola menerjah jaring.

Aksi kedua-dua pasukan itu turut berlangsung tegang dengan pengadil l melayangkan tiga kad kuning pada babak pertama masing-masing kepada Rizal, Amirul Hisham dari Kedah serta pertahanan skuad Harimau Selatan, Corbin-Ong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast