Reaksi spontan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik ketika gimik Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik kelihatan teruja apabila mengimbau kembali kenangan dirinya mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) sekitar 90-an.

Dengan menggelar dirinya ‘ulat buku’, Maszlee mengakui terpaksa bekerja selepas waktu sekolah bagi mengumpul duit untuk membeli buku  yang diterbitkan luar negara seperti Iran dan Arab Saudi serta Eropah.

Kata Ahli Parlimen Simpang Rengam itu, dirinya cukup teruja setiap kali menjelangnya PBAKL terutamanya apabila mendapat pelbagai tawaran menarik serta banyak memberi penekanan kepada golongan B40 serta tidak berkemampuan.

“Pada tahun 90-an, suasananya sangat lain. Saya pada masa itu sanggup mengumpul duit bekerja selepas waktu persekolahan untuk mengumpul duit semata-mata untuk datang ke PBAKL ini. Saya naik kereta api untuk datang ke Kuala Lumpur pada masa itu.

“Masa itu penerbit buku luar negara seperti Iran amat digemari oleh saya, buku-bukunya bermutu tinggi dan sangat murah. Saya juga suka buku terbitan Eropah dan minat juga ke gerai Arab Saudi kerana dapat al-Quran percuma.

“Diskaun yang diberikan juga ‘gila-gila’ murah sehingga menarik minat golongan ulat buku untuk datang dan membeli.

“Minat membaca ini sangat mendalam sehingga menyebabkan saya buat apa sahaja untuk mendapatkan ilmu melalui pembacaan seperti ini. Secara simboliknya buku merupakan manifestasi daripada kecintaan kita terhadap ilmu,” katanya.

Maszlee yang tidak banyak menggunakan skrip ucapan semasa merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 sebaliknya lebih gemar bercakap begitu sahaja ketika berucap pada majlis perasmian PBAKL 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Dalam pada itu, Maszlee turut mendedahkan inisiatif kerajaan yang telah menggerakan program dikenali sebagai Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah ‘Negara Membaca’ menjelangnya tahun 2030 kelak.

Jelasnya, tempoh antara tahun 2020 sehingga tahun 2030 akan digunakan sehabis baik bagi melaksanakan inisiatif itu.

“Tahun 2018 sehingga tahun 2020 pula kita sasarkan tempoh pergiatkan DMK dengan objektif ianya dapat dilaksanakan dengan berkesan melibatkan pelbagai pihak.

“Saya secara peribadi telah memulakan kempen dengan berkongsi 10 buah judul buku saya paling gemari dengan tanda pagar #malaysiamembaca dan kemudian saya galakan umum untuk menyambungnya dengan berkongsi buku mereka gemari.

“Kesannya sangat besar, perkongsian saya itu telah dikongsi lebih 4,000 dalam tempoh begitu singkat sahaja malah telah digunakan secara meluas ketika ini. Untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030 sebenarnya tidak mustahil dengan inisiatif seperti ini,” ujarnya.

Maszlee juga melahirkan rasa gembira dengan kejayaan melakar sejarah baharu apabila diiktiraf sebagai ibu kota buku dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi tahun 2020.

Pengiktirafan itu diberikan kepada bandar raya yang menunjukkan komitmen tinggi kepada aktiviti perbukuan, kesusasteraan, kesenian dan gerakan membaca.

Kota yang dipilih sebagai Kota Buku Dunia UNESCO bertekad untuk mempromosi buku dan membaca serta menganjurkan aktiviti sepanjang tahun. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast