Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Majlis Mesra Bersama Pemimpin sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bandar Seri Sendayan, Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2019.

PRK RANTAU – Mengakhiri kempen hari kedua Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan Pakatan Harapan (PH) berusaha keras untuk memastikan calon mereka menang di Rantau.

Malah katanya, ia sebagai usaha untuk memusnahkan karier politik beliau, sekaligus mendiamkan dirinya daripada terus mengkritik kerajaan khususnya kerajaan Negeri Sembilan.

“Mereka memang nak menang di Rantau dan mereka nak memberhentikan momentum kebangkitan UMNO dan BN.

“Dan di Rantau, saya adalah individu yang patut didiamkan, kalau dia ‘hidup’ PH akan tentang kita,” katanya dalam majlis mesra bersama calon BN di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan, sebentar tadi.

Hadir sama Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa melambat-lambatkan tarikh PRK DUN Rantau.

Jelasnya, ia bagi mengurangkan momentum kemenangan BN di dua PRK sebelum ini iaitu Cameron Highlands dan Semenyih.

“Pada PRU14, saya tidak pernah turun kempen di kawasan ini. PH memang nak menang di Rantau sebab kita dah menang di Cameron Highlands dan Semenyih, dia nak berhentikan momentum.

“Saya tidak pernah jumpa SPR mesyuarat sebulan untuk tentukan tarikh PRK sebab nak matikan momentum kemenangan PRK Cameron Highlands dan Semenyih hilang,” katanya di hadapan lebih 150 penyokong beliau di Bandar Sri Sendayan.

Ini kali keempat Mohamad Hasan mempertahankan kerusi Rantau daripada dimiliki oleh PH. -MalaysiaGazette