Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Nyatoh, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 31 MAC 2019.

PRK RANTAU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu beliau tidak mengenali siapa Dr S Streram sehinggalah proses penamaan calon pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) berlangsung pada 24 April tahun lalu.

Menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, nama Dr Streram tidak pernah muncul sebelum proses penamaan dan beliau turut tertanya-tanya siapa yang akan beliau tentang pada PRU14 lalu.

“Saya pun tidak pernah dengar nama Dr Streram sebelum PRU14 yang lalu. Nama dia tiba-tiba timbul sahaja menjadi calon.

“Sebelum hari pencalonan pun saya tidak pernah dengar nama Dr Streram ni.

“Dia cuma dikenali selepas kes dia tidak dapat masuk ke dewan penanaman calon,” katanya secara eksklusif kepada MalaysiaGazette.

Beliau ditemui ketika kempen di Kampung Nyatoh, Rantau, Negeri Sembilan.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mad mengulas mengenai tinjauan  MalaysiaGazette hari ini yang mendapati rata-rata pengundi di Rantau memberitahu mereka tidak mengenali Dr Streram yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH).

Pengundi

Rata-rata pengundi di sini lebih memilih Tok Mad untuk diangkat sebagai wakil rakyat.

Mengulas lanjut, Tok Mad berkata sebagai orang luar, Dr Streram bernasib baik kerana dicalonkan sebagai wakil PH walaupun beliau bukan anak jati Rantau.

“Dia memang bukan orang Rantau, dia orang luar tetapi disebabkan oleh jawatan dia dalam PKR, dia dapat mandat untuk bertanding di sini.

“Saya tidak boleh pandang ringan walaupun dia bukan orang Rantau, tapi saya mesti berkerja kuat untuk saya dapat menemui seramai mungkin pengundi untuk dapat yakinkan untuk mereka beri mandat kepada saya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: