Pengerusi Parti Amanah Negara Negeri Sembilan merangkap Speaker Yang Di-Pertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 01 APRIL 2019

SEREMBAN – Setakat ini belum ada ahli-ahli Parti Amanah Negara (Amanah) yang dikesan bekerjasama dengan calon bebas, Mohd Noor Yassin telah dipecat.

Namun, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar memberi amaran kalau ada ahli-ahli parti itu yang membantu Mohd Noor, mereka juga akan dipecat serta-merta seperti mana yang dilakukan kepada Mohd Noor.

Mohd Noor dipecat daripada Amanah selepas proses penamaan calon PRK DUN Rantau selesai pada 30 Mac lalu.

Zulkefly mengakui pihaknya tidak menyedari Mohd Noor adalah ahli parti itu kerana dia merupakan ahli biasa sahaja.

“Saya sendiri pun tak tahu dia ahli sebenarnya kerana borang itu tidak diserahkan kepada saya,” katanya kepada pemberita di Bandar Reka, Rantau di sini.

Tambahnya, parti itu telah memecat Mohd Noor tanpa meminta sebarang penjelasan kerana dia ahli biasa, selain tidak mempunyai pengaruh dalam Amanah.

“Bagi saya takda apa-apa ..buat apa nak siasat dia ..ahli biasa tak ada pengaruh dalam Amanah, bagi saya ada orang sengaja nak naikkan nama dia. Lagi banyak saya cakap pasal dia..lagi dia suka.

“Lagipun tindakan pemecatan itu dibuat berlunaskan perlembagaan parti yang menyebut mana-mana ahli parti Amanah mesti setia dan bekerjasama dengan parti. Kalau tidak maka, automatik tidak boleh duduk dalam parti,” tambahnya.

Beliau menyifatkan bekas ahli Pas itu sebenarnya sudah mempunyai agenda tertentu tetapi tidak disedari kepimpinan tertinggi parti kerana menerima keahliannya seperti mana ahli biasa lain.

Zulkefly turut mendakwa, Mohd Noor menyertai parti itu dengan rancangan bertanding sebagai calon bebas.

“Dia bukan ada apa apa jawatan pun dalam Amanah kerana ahli biasa je tetapi berkemungkinan dia sudah ada rancangan awal lagi nak mengambil kesempatan pada PRK kali ini.

“Ramai orang ambil kesempatan dalam PRK untuk cari nama dan glamor, mungkin ada orang bersama dengan dia khususnya orang tertentu untuk merosakkan nama Pakatan Harapan dan memecahbelahkan parti.” katanya.

Zulkefly berkata, beliau telah pun berbincang dengan Mohamad Sabu, selaku Presiden Amanah dan akan meneruskan siasatan sehingga ke peringkat akar umbi untuk mengenal pasti jika ada mana-mana ahli bersekongkol dengan Mohd Noor. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast