Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Laporan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai isu tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 bilion dijangka dibuat pada minggu depan.

Menurut Timbalan Pengerusi jawatankuasa tersebut jawatankuasa itu, Wong Ka Ho sebelum membentangkannya Jabatan Audit akan memberikan taklimat terlebih dahulu sebelum menamatkan siasatan.

“Tentang bayaran balik GST refund minggu depan kita adakan taklimat oleh Jabatan Audit dan kita akan lihat adakah yang perlu ditambah jika tidak kita akan cuba untuk tutup dan cuba bentang laporan minggu depan,” katanya di Parlimen.

Beliau berharap agar isu berkaitan dengan teknikal dapat diselesaikan minggu depan.

Dewan Rakyat bersidang sehingga 11 April.

“Bayaran balik GST  kini di peringkat terakhir, kita harap kita boleh, kita mahu tutup pada minggu depan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pertukaran Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hanya akan merumitkan siasatan yang telah berjalan.

Ujarnya keputusan yang perlu dibuat sepatutnya daripada individu yang mengikuti proses siasatan daripada awal.

“Kalau pengerusi baru kita akan hadapi isu lain, macam mana Pengerusi baru nak tangkap (ikuti) apa yang dikatakan oleh saksi terdahulu,” katanya.

Namun sekiranya benar-benar berlaku pertukaran pengerusi jawatankuasa itu maka kata beliau, saksi yang telah dipanggil sebelum ini tidak perlu sekali lagi memberi penjelasan. -MalaysiaGazette