Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US pada awal dagangan hari ini berikutan permintaan yang lemah terhadap unit tempatan itu susulan peningkatan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Pada 9.05 pagi, ringgit diniagakan pada 4.0820/0870 berbanding dolar US daripada 4.0790/0820 sewaktu ditutup pada Isnin.

Menurut peniaga, peningkatan aktiviti pembuatan Amerika Syarikat menjadikan beberapa pelabur bertindak beralih kepada bon dalam denominasi dolar US, menyebabkan bon berkadar 10 tahun itu meningkat lebih daripada lapan mata asas.

Malaysia sebaliknya mencatat aktiviti pembuatan lebih rendah dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Nikkei Malaysia susut sedikit kepada 47.2 pada Mac lepas berbanding 47.6 pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0108/0156 daripada 3.0114/0141 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6656/6711 daripada 3.6744/6781.

Ringgit juga tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3327/3413 daripada 5.3419/3474 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5727/5803 daripada 4.5832/5882. – MalaysiaGazette