Lynas Malaysia wajar dib.eri peluang untuk mempertahankan rekod pengawalseliaan serta persekitarannya secara terbuka sejak ia mula beroperasi pada 2012. - MABC
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lynas Malaysia Sdn. Bhd sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk mematuhi cadangan Jawatankuasa Eksekutif Semakan Semula berhubung penyimpanan residue water leach purification (WLP) di loji pelupusan kekal (PDF).

Pengarah Urusannya, Datuk Mashal Ahmad berkata, jawatankuasa kerajaan Pakatan Harapan itu telah mengambil pendekatan teliti dan saintifik dengan melawat kilang Lynas Malaysia dan mengadakan mesyuarat bersama pihak pengurusan, pakar sains, ahli masyarakat dan kumpulan yang menentang kilang nadir bumi itu.

“Berdasarkan itu, jawatankuasa tersebut mendapati operasi Lynas Malaysia adalah berisiko rendah, mematuhi peraturan yang ditetapkan manakala kemudahan penyimpanan residu pula beroperasi dengan cara yang baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mashal, penemuan-penemuan tersebut adalah konsisten dengan semakan-semakan semula yang dijalankan secara bebas dan saintifik termasuk oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.

Jawatankuasa eksekutif itu katanya turut mengemukakan beberapa cadangan termasuk mengarahkan Lynas membina sebuah PDF bagi residu WLP.

Menurut Mashal, Lynas Malaysia percaya cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh jawatankuasa berkenaan perlu diikuti dan kesemua penilaian terhadap operasi syarikat tersebut dibuat bersandarkan fakta dan bukti saintifik dan bukannya asertasi yang tidak disokong.

Katanya, pendirian Jawatankuasa Eksekutif itu bagaimanapun bertentangan dengan Jawatankuasa Kaukus Parlimen.

Menurut Mashal, Lynas Malaysia telah menghantar jemputan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Kaukus Parlimen untuk melawat kilang tersebut atau diberikan taklimat berhubung operasinya.

“Lynas Malaysia ingin mengesahkan kami telah menghantar beberapa jemputan kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Setakat ini, kami hanya menerima maklum balas daripada seorang sahaja ahli kaukus manakala kesemua yang lain sama ada menolak atau langsung tidak memberi maklum balas terhadap jemputan yang kami hantar secara tangan.

“Ini amat mendukacitakan kerana banyak kenyataan yang dibuat oleh jawatankuasa tersebut adalah tidak benar dan kami berharap dapat memastikan kesemua ahli mendapat akses kepada fakta sebenar,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai pengurusan sisa buangan, Mashal berkata, kesemua tiga lesen operasi syarikat tersebut dikeluarkan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Agensi tersebut selama ini mewajibkan Lynas Malaysia untuk membuat penyelidikan dan pembangunan terhadap penggunaan semula yang selamat hasil residu WLP.

“Sekiranya ia membuktikan sesuatu yang tidak praktikal, syarat yang ditetapkan dalam lesen kami adalah meminta Lynas Malaysia membuka, membina dan membangunkan sebuah PDF untuk menyimpan residu WLP.

“Lynas Malaysia hanya diwajibkan untuk mengeksport WLP keluar daripada Malaysia sekiranya kedua-dua opsyen tadi tidak sesuai,” ujarnya.

Mashal menjelaskan bahawa surat yang ditandatangani oleh pengerusi eksekutif Lynas pada 23 Februari 2012, menggunakan istilah “jika perlu” yang secara jelas dan menyebut urutan tiga tahap keutamaan dalam setiap lesen operasinya.

“Lynas Malaysia telah banyak memberi tugas kepada penyelidik bebas untuk menyediakan laporan yang kesemuanya menunjukkan opsyen tersebut (guna semula) adalah layak.

“Opsyen dua (PDF) juga boleh dilaksanakan dan AELB sebelum ini telah meluluskan pelan penempatan Lynas Malaysia untuk PDF.

“Di samping itu, surat itu hanya berkaitan dengan sisa yang dijana semasa tempoh lesen operasi sementara selama dua tahun,” katanya lagi.- MalaysiaGazette