Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Dr Maszlee Malik memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan Program Permata diteruskan dengan hala tuju yang lebih kukuh demi faedah anak-anak.

Menteri Pendidikan itu berkata, di sebalik kontroversi yang menyelubungi Program Permata, banyak perkara yang telah dilaksanakan melalui program ini demi meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak.

Ia termasuk, menyediakan sistem sokongan buat kanak-kanak yang memiliki bakat luar biasa, memberi dukungan buat anak-anak autisme, galakan kepada golongan remaja, program kesenian dan sebagainya.

Beliau berkata demikian dalam posting di Facebooknya selepas KPM mengadakan perbincangan hala tuju semua lapan Program Permata bersama enam kementerian lain.

Kementerian-kementerian terbabit ialah Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pernah memuji program yang diilhamkan oleh isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Wan Azizah berkata, program berkenaan adalah program yang baik dalam membantu meningkatkan pembangunan dan kebajikan kanak-kanak.

Lantaran itu, Program Permata diteruskan tetapi ia perlu dikaji dan diaudit terlebih dahulu.

Program Permata diwujudkan pada tahun 2007 tetapi sering didakwa sebagai satu program pembaziran dan tidak mendatangkan faedah. – MalaysiaGazette