Calon Bebas, R. Malar (kanan) berbual dengan Kuan Chee Heng atau Uncel Kentang ketika hadir pada ceramah manifesto sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pekan Rantau, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2019

SEREMBAN – Calon bebas, R Malar beruntung kerana turut disokong bekas calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Kuan Chee Heng atau lebih popular dengan panggilan Uncle Kentang.

Uncle Kentang yakin dengan semangat dan kegigihan Malar, wanita itu mampu meraih undi yang lebih daripada apa yang diperolehinya awal Mac lalu.

“Saya rasa kalau dia kerja keras dan pengundi bagi peluang kepada dia, Malar  tidak ada masalah untuk atasi undi saya di Semenyih.

“Namun saya rasa dia akan kalah deposit,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Tambahnya, beliau menyokong Malar kerana melihat kesungguhan yang dipamerkan suri rumah itu dalam mengetengahkan masalah rakyat sebagai agenda utama dalam manifestonya.

“Kalau mana-mana individu yang mahu mengambil bahagian dalam sistem demokrasi negara dan mereka mahu menyuarakan suara rakyat, kenapa tidak saya sokong. Saya rasa kita harus bagi sokongan,” katanya.

R. Malar merupakan salah seorang calon PRK DUN Rantau yang bakal diadakan 13 April depan.

Pesaing-pesaing lain ialah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, pakar bius Dr S. Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan seorang lagi calon bebas, Mohd Nor Yassin.

Dalam pada itu, Chee Heng melahirkan hasrat untuk bertanding semula menjadi calon wakil rakyat.

Bagaimanapun beliau tidak berniat untuk bertanding di kerusi Parlimen Sandakan, sebaliknya hanya akan bertanding kerusi DUN atau Parlimen yang berdekatan sahaja.

“Insya-Allah saya akan bertanding lagi di kawasan saya boleh beri khidmat. Bukan di Rantau, Sandakan kerana saya tidak boleh tipu rakyat jika saya tak boleh berkhidmat.

“Saya akan bertanding di kawasan yang saya boleh naik motosikal dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya lagi.

Pada 2 Mac lalu, Chee Heng hanya mendapat 725 undi berbanding calon BN, Zakaria Hanafi dengan 19,780 undi.

Pencabar terdekat Zakaria, Muhamamd Aiman Zainali pula 17,866 undi, sementara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul dengan 847 undi. – MalaysiaGazette