Peguam Negara, Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwa bagi kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tommy Thomas mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sengaja mahu melengah-lengahkan perbicaraan kes SRC International apabila memfailkan notis penangguhan pada saat akhir.

“Tindakan pihak pembelaan memfailkan notis itu pada saat akhir adalah satu usaha untuk melengahkan perbicaraan,” katanya ketika permulaan prosiding sebentar tadi.

Terdahulu, Peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang pihaknya sudah memfailkan notis itu hari ini.

Dalam pada itu, Tommy Thomas ketika sedang membacakan kenyataan pembukaaan menyatakan perbicaraan hari ini menunjukkan bahawa tiada mana-mana individu yang boleh terlepas dan melangkaui undang-undang begitu sahaja.

Kata beliau, perbicaraan ini juga akan menjadi peringatan kepada sesiapa yang memegang jawatan tertinggi negara.

“Tidak sesiapa boleh terlepas daripada undang-undang walaupun menjawat jawatan paling tinggi dalam negara ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette