SEREMBAN- Datuk Seri Mohamad Hasan dinasihati supaya membaca surat khabar dan menonton berita di televisyen atau ke mahkamah untuk mengikuti perkembangan terkini kes rasuah dan penyelewengan dana RM2.6 bilion melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Prosiding kes bekas perdana menteri itu sudah pun bermula semalam.

Gobind Singh Deo membidas kenyataan calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau itu yang mempersoalkan kenapa sudah 10 bulan Pakatan Harapan mentadbir tetapi Najib belum didakwa atau ditahan berhubung skandal1Malaysia Development Berhad.

“UMNO juga tahu, begitu juga Tok Mad yang ada dalam parti itu tahu skandal besar 1MDB dan rasuah. tetapi dia soal kalau Najib bersalah kenapa tunggu sehingga 10 bulan baru hendak charge (dakwa).

“Kita tanya sama dia (Tok Mad), masa itu dia tak tahukah RM2.6 masuk akaun Najib, skandal 1MDB, kenapa duduk diam masa itu dan sekarang masih sokong orang yang buat kesalahan itu, sekarang pandai soal kenapa lambat dakwa

“Saya tanya kamu, wahai Tok Mad kita sudah dakwa dan bawa Najib ke mahkamah.. kalau kes ke mahkamah bukan kerja sehari sebab ia kes besar. Saya sebagai peguam berpengalaman 20 tahun, kes ini mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di hadapan kira kira 500 orang pengundi tempatan di Taman Pasir Mas Rantau di sini, yang turut dihadiri Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tok Mad pergi buka surat khabar dan baca, tengok TV dan kamu boleh pergi ke mahkamah menyaksikan kes perbicaraan, yang mana kita beri peluang kepada saksi-saksi memberi keterangandi sana,” ujarnya.

“Saya berani cakap tempoh ini 10 bulan ini,  kerajaan bersih tanpa rasuah..ini 60 tahun BN tak boleh buat. Kerajaan dan menteri kerja keras 24 jam sebab sayangkan negara ini,” katanya.

Malah, katanya, rakyat akan pasti memahami bahawa kerajaan ini sedang menguruskan segala permasalahan dan membaikinya tetapi memakan masa.

“Dalam PRK ini, kita memberi isyarat kepada Tok Mad bahawa pengundi sini mahu pemimpin parti bersih, mahu pemimpin yang bersih yang tidak ada skandal,” tegasnya.- MalaysiaGazette