SEREMBAN – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan beliau mencari talian hayat politik dengan menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas menteri pertahanan itu berkata, sokongan yang dinyatakan itu demi memastikan kestabilan negara dan ekonomi.

Selain itu, katanya, Dr Mahathir perlu menjalankan tugasnya demi kepentingan rakyat.
“Kalau kata saya nak gunakan sebagai talian hayat politik, itu tidak benar.
“Saya jawab isu ini susulan daripada soalan pihak media yang bertanya, di mana ia (isu) ini bermula daripada pihak mereka sendiri,” katanya pada sidang media selepas walkabout di Kampung Kuala Sawah, Rantau hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau membuat kenyataan itu selepas ditanya oleh media sama ada adalah beliau akan menyokong Dr Mahathir sehingga tamat penggalnya sekiranya wujud gerakan ‘menjatuhkan’ Dr Mahathir.
Ahli Parlimen Sembrong itu menambah: “Isu ini ditanya oleh media dan dibawa oleh pemimpin mereka. Takkan nak salahkan saya, tak aci lah kata orang Johor”.
Kenyataan itu dibalas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menyifatkan Hishamuddin cuba meraih talian hayat dalam arena politik dan kesempatan untuk kelangsungan UMNO.
Hishamuddin berkata, isu menggelar Dr Mahathir sebagai diktator bukan dimulakan dirinya, sebaliknya ia ditimbulkan semula oleh pemimpin Pakatan Harapan,
“Isu berhubung kait dengan diktator ini sebelum PRK Rantau lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, apa yang dizahirkan beliau adalah bersandarkan kepada apa yang beliau dengar daripada wakil rakyat.
“Ini pandangan peribadi saya, saya sudah tidak ada jawatan dalam Barisan Nasional pun. Kenyataan yang saya buat baru-baru ini, itu yang saya luahkan. Nak lebih daripada itu bukan saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















