Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Semua ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam kalangan kalangan Ahli Parlimen pembangkang menegaskan peletakan jawatan mereka berkuat kuasa walaupun tidak menghantar surat rasmi.

Kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tindakan nekad mereka itu dibuktikan apabila tidak lagi hadir beberapa mesyuarat PAC.

“Letak jawatan, yang penting kita tidak pergi mesyuarat kalau tidak letak kita mesti pergi mesyuarat,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming bahawa semua Ahli Parlimen yang mengumumkan peletakan jawatan dalam PAC menerusi sidang media sebagai tindakan tidak menghormati jawatankuasa itu kerana sehingga kini masih belum menyerahkan surat rasmi.

Dalam pada itu, selaku parti pembangkang Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera mengharapkan agar kerajaan mempertimbangkan semula tindakan menandatangani Statut Rome kerana ia tidak memberikan kelebihan kepada kerajaan, sebaliknya merugikan kerana menghilangkan kuasa raja-raja.

Beliau juga menegaskan bahawa undang-undang dalam negara mencukupi untuk menangani jenayah.

“Apakah kelebihan kepada kita untuk menjadi ahli? Tidak ada yang nampak lebih banyak merugikan. Kita mempunyai undang-undang yang mencukupi.

“Berbagai undang-undang Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan sebagainya untuk menjaga kepentingan kita tidak perlu campur tangan negara luar terhadap jenayah,” ujarnya.-MalaysiaGazette