Zukri Samat

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi bantuan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) dengan menyuntik maksimum RM17.8 bilion dalam tempoh sehingga 10 tahun atau sehingga sukuk yang diterbitkan susulan pemindahan asetnya kepada syarikat khas Urushartanah Jemaah Sdn. Bhd. (UJSB) berjaya ditebus semula.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, pembayaran pertama sebanyak RM500 juta akan dibuat pada tahun hadapan dan bakinya akan dibuat setiap tahun sehingga semua sukuk habis ditebus.

Sekiranya, kesemua sukuk tersebut berjaya ditebus lebih awal, komitmen kerajaan akan lebih rendah daripada RM17.8 bilion, jelas beliau.

“Ya (bail-out), ini adalah untuk menyelamatkan TH tetapi angka tersebut RM17.8 bilion adalah jumlah maksimum kerana ia bergantung kepada prestasi syarikat khas tersebut, berapa banyak aset yang telah kami pindahkan mampu dipulihkan oleh SPV tersebut.

“Seperti yang saya nyatakan awal tadi, nilai aset yang kami pindahkan ke SPV berdasarkan nilai aset setakat Disember adalah RM9.7 bilion, sekarang dah tentu nilainya semakin naik,” katanya ketika menjawab soalan apakah suntikan dana tersebut merupakan langkah penyelamatan daripada kerajaan.

Mengulas lanjut mengapa suntikan dana tersebut tidak diumumkan lebih awal semasa TH melancarkan pelan penstrukturan semulanya atau ketika urusniaga dengan UJSB selesai, Zukri menjelaskan, ini kerana entiti itu telah mematuhi standard perakaunan MFRS 9 yang baharu digunapakai pada 31 Disember 2018.

“Ini membuatkan TH menerima lebih daripada sepatutnya kerana ia mengambil kira kadar faedah masa hadapan.

“Nombor dua, kerajaan adalah komited sekarang kerana ia perlu menyediakan geran kepada SPV untuk menebus sukuknya setiap tahun iaitu RM500 juta pada tahun 2020 dan sembilan tahun selepas itu, RM1.73 bilion mengikut peruntukan bajet.

“Sekarang kami boleh memastikan TH memegang sukuk yang dimiliki oleh SPV dan sekarang kami sudah mendapat jaminan yang SPV boleh membuat penebusan disebabkan komitmen kerajaan.

“Kalau dahulu, kalau tiada komitmen kerajaan ianya hanya ada SPV, (kita tidak tahu) boleh bayar atau tidak, jadi itulah (kelebihan) MFRS9,” jelasnya.

Tambah beliau, sokongan penuh kerajaan dalam pelaksanaan penstrukturan semula TH membolehkan mengimbangi kedudukan kewangannya.

“Aset-aset ini mempunyai nilau buku sebanyak RM9.7 bilion telah dipindahkan kepada UJSB pada harga RM19.9 bilion bagi membolehkan jurang defisit sebanyak RM10.9 bilion ditutup.

“Pemindahan ini akan dilangsaikan menerusi sukuk RM19.6 bilion dan tunai sebanyak RM300 juta.

“Transaksi pemindahan ini membolehkan TH mencapai dua matlamat iaitu menutup jurang defisit dan memulihkan kedudukan kewangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette