Menteri Belia dan Sukan, Syed saddiq Abdul Rahman menegaskan pendirian untuk berdiri teguh bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Pengumuman kerajaan untuk menarik balik ratifikasi Statut Rom menimbulkan pelbagai reaksi terutamanya apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengaitkan keputusan tersebut dengan gerakan pihak tertentu untuk mejatuhkan kerajaan dan perdana menteri.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak terkecuali mengulas isu tersebut.

Beliau yang menegaskan pendirian untuk berdiri teguh bersama Dr Mahahtir berkata, mereka yang menggelar perdana menteri pembelot kerana meratifikasi Statut Rom dan mahu menjatuhkannya secara tidak demokratik adalah pengecut.

“Langkah mayat saya dulu sebelum anda cuba untuk menjatuhkan perdana menteri kami. Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam ciapan di laman Twitter.

Petang tadi dalam sidang media, Dr Mahathir berkata, kerajaan terpaksa menarik balik ratifikasi Statut Rom kerana isu tersebut telah diputar-belit sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat.

Lebih mengecewakan, menurut perdana menteri, ada pihak tertentu telah menggunakan raja-raja untuk menjatuhkan kerajaan dan dirinya sendiri.

Ditanya mengapa pihak kerajaan tidak berbincang terlebih dahulu dengan Majlis Raja-Raja, Dr Mahathir berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian. – MalaysiaGazette