Tan Sri Mohamad Fuzi Harun merasmikan perlawanan ragbi PDRM piala Camaraderia di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am.
KAJANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan kerjasama penuh siasatan berhubung dakwaan Cawangan Khas Bukit Aman terlibat dalam kehilangan paksa paderi Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini berkata PDRM akur dengan arahan yang diberikan pemimpin negara untuk menyiasat kes berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga akan mempertimbangkan langkah-langkah yang perlu diambil berhubung dakwaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Saya tidak sewajarnya memberi komen berhubung isu ini (kes Pastor dan Amri) kerana mereka ini (Suhakam) bukanlah pertama kali memberi keterangan kes berkenaan.

“Oleh itu, Suhakam tidak sepatutnya menghebahkan laporan hasil inkuiri awam kes ini kepada umum dan ia seharusnya diserahkan kepada PDRM, Kementerian Dalam Negeri serta pihak berkuasa lain yang berkaitan,” katanya selepas merasmikan perlawanan ragbi PDRM piala Camaraderia di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am dekat sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan Suhakam yang menyalahkan Cawangan Khas atas kehilangan paksa Raymond Koh dan Amri.

Mohamad Fuzi berkata tindakan Suhakam yang menghebahkan laporan inkuiri awam kepada umum amat mengecewakan pihaknya.

“Ia amat mendukacitakan kami, malah tindakan mereka seakan-akan menghukum PDRM sebelum sebarang tindakan diambil berhubung isu berkenaan,” katanya sambil menambah PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung kes ini dalam masa terdekat.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan membuka siasatan baharu susulan laporan Suhakam yang membuat kesimpulan bahawa Cawangan Khas Bukit Aman terlibat dalam kehilangan paksa Koh dan Amri, masing-masing pada tahun 2016 dan 2017.

Menurutnya, kerajaan akan menunggu sehingga pelantikan Ketua Polis Negara yang baharu dimuktamadkan, memandangkan kesimpulan itu membuat tuduhan terhadap Mohamad Fuzi.

Pada Rabu lepas, Suhakam mengeluarkan satu laporan susulan inkuiri 18 bulan berhubung beberapa kes kehilangan orang, dan laporan itu membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas terbabit dalam “kehilangan paksa” Koh dan Amri.

Khamis lepas, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kehilangan Koh dan Amri.

Mohamad Fuzi yang dijadualkan bersara sebagai ketua Polis Negara bulan depan, merupakan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman ketika itu.

Prosiding inkuiri itu dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, bekas hakim Mahkamah Rayuan.

— BERNAMA