Pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng (kiri) dan Lai Pei Jing (dua kiri) ditewaskan pemain beregu campuran China, Wang Yilyu (dua kanan) dan Huang Dongping (kanan) dengan keputusan 21-13, 21-17 pada perlawanan separuh akhir, hari kelima Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil. foto NOOREEZA HASHIM, 06 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Kejayaan beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mara ke separuh akhir Badminton Terbuka Malaysia 2019, satu perkembangan positif namun masih belum cukup menjadi kayu ukur pasangan itu bersedia hadapi kempen Sukan Olimpik 2020 bermula Mei ini.

Bagi jurulatih beregu campuran negara Chin Eei Hui penilaian terhadap pasangan yang kini berada di ranking ke-38 dunia itu, perlu dibuat dalam beberapa kejohanan lagi kerana baginya, apa yang penting buat pasangan itu bukanlah kemenangan, tetapi prestasi dalam setiap kejohanan yang disertai.

“Saya tidak mahu tengok sangat kepada keputusan menang atau kalah, kerana kita tidak boleh nilai sama ada mereka sudah bertambah baik atau tidak.

“Walaupun mereka main teruk tapi boleh menang, itu tiada guna. Tapi kalau mereka main bagus tapi kalah, dari situ mereka akan belajar sesuatu. Itu yang penting bagi mereka kerana mereka belum stabil,” katanya.

Pasangan negara itu menjadi wakil tunggal negara mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia namun tewas kepada pilihan kedua dari China Wang Yilyu-Huang Dongping 21-13, 21-17.

Kian Meng-Pei Jing yang tidak diletakkan sasaran di kejohanan itu melakukan kejutan, apabila berjaya ketepikan pilihan ketiga dari Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashino pada pusingan pertama.

Rentak cemerlang mereka diteruskan pada pusingan kedua dengan menundukkan pasangan India Pranaav Jerry Chopra-Reddy n.Sikki untuk mara ke suku akhir dan kemudiannya layak ke separuh akhir dengan mengenepikan Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow dari Indonesia.

Beregu campuran negara itu pernah berada dalam kelompok 10 terbaik dunia pada 2016, tetapi mereka mengalami kemerosotan prestasi sejak 2017 dan dalam empat kejohanan yang disertai awal tahun ini bermula Masters Malaysia, Masters Indonesia, Terbuka Jerman dan Seluruh England, Kian Meng-Pei Jing ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi beregu campuran secara keseluruhannya, Eei Hui mengakui setakat ini pasangan profesional Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kekal sebagai beregu campuran terbaik negara, berdasarkan ranking dan pengalaman mereka.

Namun, katanya, pasangan seperti Goh Soon Huat-Shevon Lai juga tidak kurang hebatnya dan jurang antara mereka tidak terlalu jauh.

“Pada masa sekarang memang Peng Soon-Liu Ying masih terbaik negara kerana ranking mereka di atas dan mereka lebih berpengalaman. Tapi jika dibandingkan dengan Soon Huat-Shevon, ia tidak terlalu jauh cuma ada sedikit sahaja perbezaan.

“Dari segi kalau berada dalam pertarungan sengit, Peng Soon-Liu Ying lebih matang mengawal keadaan,” katanya.

Mengenai kempen kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pula, Eei Hui berkata ia satu perkembangan positif bagi ketiga-tiga pasangan negara, kerana mereka boleh bersaing dalam atmosfera yang yang sihat bagi merebut tempat ke temasya lima tahun sekali itu.

“Saya harap ketiga-tiga pasangan termasuk Peng Soon-Liu Ying berada di landasan yang betul dalam kempen memburu tempat ke Olimpik. Ia juga satu suasana yang baik kerana ada satu persaingan yang sihat dan ia baik untuk proses peningkatan yang cepat,” katanya.

Kempen kelayakan Sukan Olimpik akan bermula Mei ini, dan penilaian pertama dikira bermula di Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Nanning, China. Hanya dua pasangan dari setiap negara yang berada di kelompok lapan terbaik layak beraksi di temasya itu. – MalaysiaGazette